24 Januari 2013

KUALA LUMPUR - Penemuan Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) mendapati Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi pilihan untuk menyandang jawatan perdana menteri jika perikatan masing-masing, Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat (PR) menang Pilihan Raya Umum ke-13.
Najib selaku perdana menteri akan mengetuai BN pada PRU13 manakala Anwar mengepalai PR selaku Ketua Umumnya.
Pengarah Umcedel, Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, hasil kajian mendapati pilihan pengundi lebih cenderung memilih salah seorang daripada dua pemimpin itu.
"Najib mendapat 43 peratus manakala Anwar mendapat 42 peratus (sokongan responden)......Tajuk/[SH]

"Manakala (Timbalan Perdana Menteri) Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya mendapat 22 peratus dan (Presiden Pas) Datuk Seri Abdul Hadi Awang 26 peratus," katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.
Kajian ini membabitkan 1,049 responden di Semenanjung Malaysia dan, dijalankan bermula 26 Disember 2012 hingga 11 Januari lalu.

Kajian pertama dibuat pada 2010 manakala kedua dan ketiga pada 2012.

Sementara itu, daripada kajian yang dibuat ke atas pengundi yang kali pertama mengundi, mereka lebih cenderung memilih Anwar (52 peratus) sebagai perdana menteri berbanding Najib (30 peratus).

Manakala bagi pengundi Melayu, pilihan utama lebih menumpukan Najib (46 peratus) manakala Anwar (34 peratus).

Perbezaan sokongan terhadap pemilihan orang No.1 negara itu turut dapat menyaksikan sokongan pengundi Cina memilih Anwar (61 peratus) dan Najib (35 peratus). Pengundi Cina juga tidak menunjukkan sokongan terhadap Abdul Hadi sebagai Perdana Menteri apabila beliau hanya mendapat dua peratus undi.

Najib juga dijangka terpaksa berhadapan dengan cabaran getir dalam mempertahankan kedudukannya dalam PRU13.

Kajian itu mendapati populariti Najib turut mengalami penurunan 61 peratus (31 Mac - 15 April 2012), 58 peratus (1 September - 16 September 2012) dan 51 peratus (26 Disember - 11 Januari 2013).

Berhubung soalan sama ada Najib seorang pemimpin yang rapat dan mesra rakyat, beliau mendapat 61 peratus sokongan.
Najib mendapat 50 peratus undi apabila ditanya sama ada beliau seorang pemimpin yang berwibawa dalam pentadbiran.

Sementara itu, Mohammad Redzuan berkata, keyakinan pengundi terhadap kepimpinan Anwar menunjukkan peningkatan sebanyak 44 peratus berbanding tahun lalu.

Namun, katanya, sokongan pengundi wanita terhadap Anwar adalah sebaliknya.

"Hasil kajian mendapati pengundi wanita yang tidak menyokong kepimpinan Anwar adalah sebanyak 41 peratus.

"Trend mendapati pengundi wanita ini lebih cenderung mengikuti perkembangan politik semasa melalui media arus perdana berbanding media baru," jelas beliau lagi.

Sementara itu, hasil kajian ini turut mendapati laporan media mengenai percanggahan pendapat dalam Pakatan Rakyat (PR) turut boleh menjejas sokongan pengundi terhadap parti itu.

Sebanyak 59 peratus pengundi bersetuju dan hanya 10 peratus tidak setuju, manakala 11 peratus lagi tidak pasti jika percanggahan pendapat dalam PR boleh kurangkan sokongan.

0 Comments:

Post a Comment