24 April 2010

Kalau ilmu cetek...Jangan berlagak pandai

ISU WAHABI- sila rujuk (http://www.zaharuddin.net/)
Isu jenama dan label Wahabi adalah satu lagi jenis ilmu yang menurut penelitian saya, TIDAK MAMPU difahami secara adil dan betul oleh orang awam. Hatta sebahagian ilmuan Islam yang tidak specialize bidang tersebut juga kurang kemampuan. Sama seperti kesnya di dalam bidang Fiqh Kewangan yang sentiasa ketandusan pakar dari kalangan ulama Fiqh di seluruh dunia.
Namun apabila isu ini dibincangkan secara terpecah-pecah, akhirnya semua menjadi keliru dan timbul pihak awam yang menjadi pengikut serta begitu agresif menghentam di antara satu sama lain.
Manakan tidak, bagi memahami sebenar-benarnya isu wahabi sesat atau tidak, perbincangannya terlalu banyak kaitan dengan pelbagai displin ilmu dan topik yang sukar sekali mampu difahami oleh orang awam, sebagai  contoh :
  • Perlu faham istilah Wahabi asalnya dari mana, siapa menamakannya, apa motifnya.
  • Perlu punyai kefahamanlatara sejarah Islam di waktu kewujudannya,
  • Perlu fahami Fiqh Daʿwah dan Fiqh al-Waqiʿ serta perbezaaan cara gerakan dakwah di satu-satu tempat.
  • Perlu memahami latar belakang pergeseran pengikut mazhab yang telah wujud sejak kurun kedua hijrah yang menyumbang kepada tuduh menuduh, sesat menyesat, kutuk mengutuk.
  • Perlu mehami isu aqidah yang teknikal seperti sifat Allah, ayāt mutasyābiah dan hukum taʾwilannya, perbezaan taʾwil dan tafsir, Taʾwil bi al-Raʾyi dan Bi Al-Maʾthur, Allah bertempat atau tidak, status hadīth Ahād, Zonni al-Dalālah dalam dalil-dalil berkaitan ʿAqīdah,
  • Perlu memahami apa mazhab empat dan pegangan fiqh mereka agar tidak tersilap menggelar mazhab selain Syafiʿi sebagai Wahabi.
  • Perlu memahami adakah pandangan marjuh boleh dipakai oleh orang awam yang tiada asas.
  • Fahami ijtihad mazhab Syafiʿi dalam cabang Fiqh dan keharusan orang awam berpegang dengannya walau dilihat lemah oleh ulama muhaqiqin (penganalisa) moden.
  • Fahami pembahagian status orang awam kepada Muttabiʿ, Muāfiz, Muqallid, ʿAwwām (Mazhab al-Mufti) dan Jāhil. Agar kita tidak memberatkan mereka dengan perkara yang diluar kemampuan, mengajar mereka perkara yang boleh menambah keserabutan.
Itulah serba sedikit cabang ilmu yang mesti dikuasi oleh sesiapa sahaja yang ingin mencampuri perdebatan dan perbincangan berkenaan wahabi, Ahli sunnah wal Jamaʿah dan yang berkait dengannya.
Selagi orang awam itu zero ilmunya atau hampir zero berkenaan hal tersebut, selagi itulah perbincangan dan perdebatan itu hanya lebih menjurus kepada mudarat kepada orang awam berbanding manfaat.
Biarlah isu ini dibincang secara tertutup oleh para ilmuan yang berkelayakan demi menambahkan kemampuan ijtihad mereka, di samping bagi melahirkan pandangan terkuat dan meningkatkan kedalaman ilmu.
Namun bagi orang awam, janganlah lagi dilemparkan isu ini kepada mereka. Nanti ibarat si buta yang tidak pernah mengenal beza harimau dan kucing. Lalu apabila dilempar kepadanya seekor harimau, lalu dipeluknya atas sangkaan ianya kucing. Akhirnya lemparan itu hanya memudaratkannya.
Manakan tidak, akibat tidak faham letak duduk isu ini dengan baik, ada orang awam yang memulakan aktiviti perang mulut, tulisan. Gelaran kafir mengkafir kerap menjadi destinasinya, gelaran Wahabi, Ahbash menjadi penyedap jiwa amarah dan bukan lagi hasil hati yang tulus yang inginkan redha Allah.
Akhirnya kedua-duanya menerima mudarat menurut hukum Islam kerana menggelar sesat dan kafir seseorang tanpa hujjah yang putus akan memantulkan ‘sesat' dan ‘kafir' itu kepada diri penuduh.

0 Comments:

Post a Comment