07 Mac 2010

Muktazilah

Pengenalan mazhab Muktazilah  
      Muktazilah adalah salah satu mazhab dalam ilmu aqidah yang berpegang kuat kepada dasar kebebasan berfikir dan cuba melepaskan umat islam daripada belenggu taklid buta.
        Pengasas mazhab ini bernama Wasil Bin Ata ( 80 - 180 hijrah) pada mulanya dia berguru dengan Hasan Al-Basri (23-110 hijrah) kemudian menyisihkan diri lalu berpisah daripada gurunya kerana tidak bersetuju dengan pendapat gurunya dalam masalah orang islam yang melakukan dosa. Pada suatu hari ketika Imam Hasan Al-Basri sedang mengajar di masjid, tiba-tiba seorang pendengar bertanya : Apakah hukum orang yang melakukan dosa besar dan mati sebelum ia bertaubat?. Belumpun sempat gurunya memberi jawapan, Wasil terlebih dahulu berkata : Bahawa orang itu bukan mukmin dan bukan kafir, tetapi di tengah-tengah di antara keduanya. Sedangkan gurunya berpendapat bahawa manusia itu ada tiga macam: Mukmin, kafir dan munafik.
        Setelah berlaku perselisihan faham tersebut Hasan Al-Basri telah menghalau muridnya itu dan tidak membenarkannya mengikuti pengajarannya lagi sambil berkata Wasil telah mengasingkan diri (iktizal) daripada kita, dan daripada perkataan inilah diambil perkataan Muktazilah yang menjadi nama golongan ini. selepas itu Wasil membuat pengajaran sendiri dan mendapat pengikut yang ramai pula.

Fahaman Muktazilah:

1-Tuhan tidak bersifat dengan mana-mana sifat bahkan segalanya dengan zatNya sahaja.

2-Tuhan itu bersifat adil dan mesti membalas baik kepada orang yang membuat baik demikian juga sebaliknya.

3-Manusia bebas melakukan sesuatu menurut kehendaknya.

4- Tuhan wajib membuat sesuatu yang baik dan yang lebih baik.

5-Al-Quran itu baharu dan bukan qadim.

6-Tuhan tidak dapat dilihat oleh manusia baik di dunia mahupun di akhirat kelak.pendapat mereka berdasarkan firman Allah dalam surah al-A'raf ayat 143
( قال ربّ أرنى أنظو اليك قال لن ترانى )
Maksudnya: (Nabi Musa bermohon kepada Tuhan) Wahai Tuhan ku, perlihatkanlah Zat engkau kepada ku supaya aku dapat menlihat Engkau, jawab Allah " Engkau tidak sekali-kali dapat melihat Ku".

Mereka juga berpegang pada satu lagi ayat Allah dalam surah Al-An am ayat 103 yang bermaksud :
"Zat Allah itu tidak boleh dicapai oleh penglihatan sedangkan Allah mencapai penglihatan, dan Dia Maha lembut dan Maha perkasa."

Jasa Muktazilah:
        Mazhab Muktazilah adalah yang mula-mula mencipta ilmu kalam dalam islam. Mereka yang pertama menggunakan senjata musuh dalam mempertahankan kesucian aqidah islam dengan mengambil ilmu-ilmu falsafah dan mantiq daripada orang-orang Yahudi,Nasrani dan Majusi. keadaan ini berlaku kira-kira awal kurun kedua hijrah. Wasil bersama rakan-rakannya telah bergiat  menentang hujah-hujah musuh dengan menggunakan senjata mereka itu sendiri untuk menikam mereka. tegasnya jasa Muktazilah sangat besar dalam mempertahankan kesucian islam di abad yang silam.
[Ini adalah petikan daripada kuliah subuh yang telah saya sampaikan di surau 6 Mac 2010]

0 Comments:

Post a Comment