13 Julai 2018

AL-MARHUM Ustaz Badiuzzaman Said an-Nursi pernah mengungkapkan ucapan yang bersejarah ketika Kerajaan Turki Uthmaniyyah berada di ambang keruntuhan. Beliau berkata;

"Wahai umat Islam! Saya melihat Kerajaan Islam Uthmaniyyah sedang mengandung, di mana anak yang di dalam kandungan itu adalah anak Barat dan saya juga melihat dunia Barat sedang mengandung, di mana anak yang di dalam kandungan itu adalah anak Islam."

Begitulah suasana negara kita sekarang apabila umat Islam yang menjadi pemimpin berideologi acuan Barat yang mementingkan kesenangan dunia.

Umat Islam kini dirosakkan pemikirannya sehingga sanggup menjadi penganut Sekularisme dan Materialisme serta mengagung-agungkan kebudayaan dan kemajuan Barat. Lebih parah apabila mereka diangkat menjadi pemimpin-pemimpin negara yang telah mengelirukan tafsiran dan tanggapan terhadap Islam.

Genggan agamamu, ibarat menggenggam bara api

"Menang Putrajaya dahulu, baru kita laksanakan Islam."

Slogan ulung kumpulan cebisan PAS yang ditolak oleh sebahagian besar pendukung Parti Islam itu di dalam Muktamar Agung PAS. Penolakan mereka adalah disebabkan anutan ideologi Materialisme yang bercanggah dengan sunnah perjuangan Rasulullah S.A.W.

Di dalam sejarah Rasulullah, Baginda pernah menolak tawaran mudah memiliki kerajaan dan menguasai tanah Makkah serta memimpin orang-orang Arab. Pemimpin agung Jahiliyyah, Abu Jahal menawarkan kepada Rasulullah dengan tawaran yang hebat;

"Wahai Muhammad, Kamu boleh menerima jawatan menjadi Raja. Kamu boleh menerima harta dan pangkat. Syaratnya, kamu mestilah mendiamkan diri terhadap kemungkaran, jahiliyyah dan kekufuran yang berlaku di Makkah ini. Kamu ingin bersembahyang, sembahyanglah. Kamu ingin berpuasa, lakukanlah. Kamu ingin bertawaf, bertawaflah, kamu ingin mengerjakan haji maka kerjakanlah. Tetapi, sekiranya kami minum arak, berjudi, menyembah berhala, melakukan kekufuran dan jahiliyyah, jangan diganggu!."

Islam bukan barang murah yang boleh dilelong, Nabi berpesan, genggam agamamu, ibarat kamu menggenggam bara api. Sehebat mana pun cabaran yang menghalang maka istiqamahlah.

Buang ego dan muhasabah

Wahai umat Islam yang telah memilih Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 yang lepas, buang egomu dan akuilah kesilapanmu kerana memilih mereka. Orang Melayu Islam seharusnya sedar dan belajar semula sejarah asal Tanah Melayu yang menceritakan tentang kedudukan dan kedatangan bangsa-bangsa lain ke tanah air ini.

Sejarah pernah menceritakan tentang kegemilangan Kerajaan Islam di Teregganu dan Melaka. Seharusnya kita menjadikannya bukti apabila kita kembali ke pangkuan Islam insyaAllah kita akan diberikan kemenangan. Sebaliknya apabila kita meninggalkan Islam kita akan menerima padah dan penghinaan daripada musuh.

Apabila Saidina Umar al-Khattab melawat Baitul Maqdis, beliau menyampaikan ucapan;

"Kita adalah kaum yang diberikan kemuliaan oleh Allah disebabkan dengan agama Islam yang kita anuti. Sekiranya kita mencari kemuliaan melalui cara yang lain daripada Islam, kita akan menerima penghinaan dari Allah S.W.T."

Sedarlah walaupun sudah terlewat kerana itu lebih baik daripada terus menjadi seperti lembu yang dicucuk hidung dipaksa ke kiri kanan oleh tuannya. - HARAKAHDAILY 13/7/2018

0 Comments:

Post a Comment