19 Jun 2015

Dewan Ulama PAS tidak pernah kesal selepas usulnya memutuskan hubungan dengan DAP diluluskan pada Muktamar Tahun ke-61 parti itu, kata ketuanya, Datuk Dr Mahfodz Mohamed.

Mahfodz berkata, mereka sudah sedia maklum akan akibat usul tersebut sejak awal lagi.

"Bagi saya, tiada patah balik, tiada pusingan-U kerana dengan kronologi yang dibuat PKR dan DAP kepada PAS, selama ini kita sabar, tak jawab kasar-kasar,” kata Mahfodz dalam wawancara bersama The Malaysian Insider di Johor baru-baru ini.

"Tetapi apabila kita dah buat (keputusan) di Muktamar memang tak akan berlaku pusingan-U. Kita dah memikirkan, akibatnya kita dah tahu," katanya....


Beliau mengulas kedudukan terkini Pakatan Rakyat (PR) selepas DAP, disusuli PKR, mengumumkan gabungan itu kini "berkubur".

Menurut Mahfodz, PAS juga tidak kesal dengan kerjasama politik yang terjalin di antara parti itu dengan DAP selama ini.

"Kita bertahaluf ini tidak ada yang rugi, selalu untung. Dengan Umno pun kita untung juga, kita boleh sampai ke kawasan Felda.

"Dengan PR kita dapat menguasai Kelantan dan dengan tahaluf siyasi, alhamdulillah, hasilnya ada," katanya.

Usul memutuskan hubungan dengan DAP dicadangkan Dewan Ulama PAS dan dipersetujui sehingga mendatangkan kemarahan beberapa perwakilan akar umbi.

Pemimpin PAS bagaimanapun berkata usul itu tidak mewakili keputusan muktamad, kerana  masih perlu diputuskan Majlis Syura Ulama parti itu.

Namun, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng kemudiannya mengatakan bersedia menerima peletakan jawatan wakil PAS dalam kerajaan negeri Pulau Pinang.

Sekurang-kurangnya 5 ahli sudah berbuat demikian, termasuk dari kumpulan progresif PAS Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dan bekas timbalan presiden, Mohamad Sabu.

DAP kemudian mengisytiharkan PR sudah berakhir pada mesyuarat jawatankuasa eksekutifnya Isnin lalu.

Bagaimanapun, Lim semalam berkata satu-satunya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS, Datuk Salleh Man, masih sebahagian daripada kerajaan negeri Pulau Pinang.

PKR juga menganggap PR sudah tidak berfungsi secara formal dan merakam kekesalan mereka dengan keputusan DAP dan PAS.

Bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa 3 parti yang sebelum ini dikenali sebagai PR agar terus menjadikan Dasar Bersama sebagai panduan dalam mentadbir negeri mereka.

Menurutnya, ini kerana secara hakikatnya, PR masih wujud walaupun secara formal ia tiada.

"Saya ingin menggesa rakan-rakan untuk menumpukan sepenuh perhatian menjadikan kerajaan negeri Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan yang menunjukkan kepedulian terhadap masalah rakyat berdasarkan Dasar Bersama PR," katanya dalam kenyataan menerusi Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah, yang bertemunya di mahkamah semalam. – TMI 19 Jun, 2015.

0 Comments:

Post a Comment