KUALA LUMPUR, 5 Jan — Umat Islam perlu meyakinkan diri sendiri
serta masyarakat bukan Islam di negara ini bahawa undang-undang Islam
adalah adil dan saksama, kata bekas Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz
Sheikh Abdul Halim.
Beliau berkata sayangnya hari ini umat Islam Malaysia begitu cuai dan
alpa sehingga mengabaikan khazanah berharga yang diwarisi daripada para
ulama Islam dan cendekiawan ilmu perundangan Islam.
“Kita harus mempelajari undang-undang Islam ini dan berikhtiar serta
berjihad, jika perlu, untuk menjadikan undang-undang Islam itu
undang-undang kebangsaan di Malaysia,” kata Ahmad Fairuz, yang merupakan
Ketua Hakim Negara pada 2003 hingga 2007.....
Beliau berkata demikian dalam ucaptamanya di Seminar Mendaulatkan
Islam Agama Negara (SEMAIAN) anjuran Pertubuhan Muafakat Sejahtera
Masyarakat Malaysia (Muafakat) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam
Malaysia (Jakim) yang dihadiri kira-kira 1,200 peserta di sini, hari
ini.
Beliau berkata beberapa langkah telahpun diambil Jabatan Syariah,
Fakulti Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Fakulti
Undang-Undang di Universiti Malaya (UM) untuk memartabatkan Islam di
negara ini
Serentak dengan itu juga, beliau berkata Kulliyah Undang-Undang
Universiti Islam Antarabangsa turut ditubuhkan dengan tujuan menyiapkan
para penuntutnya untuk menerima dan mengemukakan undang-undang Islam
sebagai undang-undang asas bagi umat Islam di negara ini.
“Tetapi ini adalah langkah permulaan sahaja dan banyak lagi langkah
harus diambil untuk menghilangkan buruk sangka terhadap undang-undang
Islam dan mengiktiraf serta menghormati undang-undang Islam di Malaysia.
“Undang-undang di negeri barat dengan secara langsung ataupun tidak,
dan dengan diketahui atau tidak, telah banyak mengambil dan meniru
undang-undang Islam.
“Di England sendiri, banyak pembaharuan telah dibuat yang membawa
undang-undang itu (Common Law) lebih dekat dengan undang-undang Islam,”
katanya.
Ahmad Fairuz, yang juga Pro-Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM),
berkata malangnya, di Malaysia sehingga hari ini kerap kali mencontohi
pembaharuan undang-undang yang berlaku di England sungguhpun peruntukan
yang setanding dengan undang-undang berkenaan atau yang lebih baik boleh
dirujuk daripada undang-undang Islam.
“Kita sebagai orang Islam di Malaysia haruslah menyesuaikan diri dan
menguatkan iman kita supaya layak menerima undang-undang Islam dan
selepas itu bolehlah kita cuba memujuk jiran-jiran kita (masyarakat
bukan Islam) di negara ini untuk bersama-sama menerimanya,” katanya.
Ahmad Fairuz dalam ucapannya turut memetik Panel Jawatankuasa Pemikir
Isu Islam Semasa Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Raja Ahmad Mukhlis
Raja Jamaludin dalam rencananya yang merujuk kepada kenyataan bekas
pensyarah undang-undang Dr Aziz Bari yang dilapor sebagai berkata bahawa
Malaysia bukanlah negara sekular.
Kenyataan Aziz itu berbunyi: “Pada hakikatnya kita boleh mengatakan
bahawa negara ini telah disyahadahkan dengan kalimah Islam sebagaimana
tertulis dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan iaitu Islam adalah
agama persekutuan sekaligus telah membatalkan ciri-ciri sekularnya.
“Dan kemudian terpulang kepada kita untuk mengisi kerangka itu dengan apa yang dituntut oleh Islam.”
Merujuk hal sama, Ahmad Fairuz berkata Perkara 3 (1) adalah kekuatan
bagi umat Islam Malaysia kerana Islam termaktub sebagai agama
persekutuan dan dalam masa sama agama lain boleh diamalkan selagi selari
dengan prinsip keamanan dan kedamaian.
“Walau bagaimanapun, penganut agama lain mesti sedar bahawa agama
mereka bukanlah agama persekutuan. Jadi berhati-hatilah membuat tuntutan
kesamarataan.
“Perkara 3 (1) telah menjelaskan bahawa Islam itu agama persekutuan, mana boleh nak samarata?” katanya.
Memetik ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa
menyampaikan ucapan dasar Presiden Umno bertemakan “Kepimpinan
Transformatif Menuju Wawasan Nasional” pada Perhimpunan Agung Umno 2012,
Ahmad Fairuz berkata umat Islam di negara ini sepatutnya beruntung
kerana mempunyai kerajaan yang komited mempertahan dan memperkembang
syiar Islam.
“Ini adalah jaminan daripada parti pemerintah untuk terus
memperjuangkan Islam. Saya tak tahulah kalau parti lain yang memerintah
(apa yang akan dilaksanakan),” kata Ahmad Fairuz.
Najib pada 29 Nov lepas berkata Umno komited untuk terus meninggikan
martabat Islam berteraskan maqasid syariah, demi memelihara agama,
nyawa, harta benda, akal, maruah dan keturunan.
Najib berkata Umno, tanpa berbasa-basi, menegaskan bahawa parti itu,
yang menjadi tunjang kerajaan Barisan Nasional, menentang
sekeras-kerasnya mereka yang mendukung fahaman pluralisme mahupun
liberalisme. — Bernama